Iqra' : Bacalah

"Ilmu Tanpa Amal Ibarat Pohon Yang Tidak Berbuah "...........baca dan amalkanlah

Monday 13 May 2013

Pendekatan dalam Mengajar Membaca


Guru perlu menggunakan pendekatan yang sesuai bagi memastikan pelajar menguasai kemahiran membaca. Pemilihan pendekatan yang ingin digunakan mengambil kira aspek kebolehan membaca pelajar, teks yang digunakan serta pengalaman pelajar. Berikut merupakan contoh pendekatan dalam mengajar membaca :
1)      Pendekatan Asas Membaca
Pendekatan ini meliputi mengajar beberapa kemahiran membaca yang biasa pada situasi yang pelbagai seperti tujuan rekreasi, mencari maklumat dan bimbingan. Pendekatan ini menekankan kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang sudah diajar sebelumnya. Penambahan perkara yang sudah diajarkan dapat membantu penguasaan kemahiran membaca. Pola perbendaharaan kata dan ejaan perlu diperkenalkan dalam gaya yang sistematik. Perkataan dan elemen-elemen perkataan dikawal dan diperkenalkan dengan merujuk kepada andaian bilangan perkataan yang dapat dipelajari dalam waktu tertentu.
2)      Pendekatan Teknologikal
Tujuan pendekatan ini adalah keupayaan guru menghasilkan pengajaran secara berurutan dan dapat dilakukan semula pada masa lain. Pendekatan ini menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan dibuktikan kebenarannya. Pendekatan ini juga dilabelkan sebagai :
-Sistem membaca berdasarkan objektif                -Program berdasarkan kriteria
-Membaca berdasarkan kecekapan                       -Sistem pengurusan kemahiran
-Membaca perspektif diagnostik





3)      Pendekatan Pengalaman Bahasa
Pendekatan ini sering digunakan kepada pelajar-pelajar terutama yang mempunyai perbezaan linguistik. Pendekatan ini melibatkan aktiviti belajar termasuk hubungan antara pemikiran, pertuturan, penulisan dan membaca. Guru merangsang pemikiran pelajar mengenai perkara atau peristiwa (binatang, teka kata, masalah, isu, pemerhatian individu). Pelajar pula digalakkan melahirkan secara lisan pemikirannya mengenai situasi itu. Penglahiran ini berdasarkan huaraian secara situasi, analisis masalah dan cadangan penyelesaian daripada perkara yang pernah dilihat. Tugasan itu juga perlu ditulis oleh pelajar dan dihantar kepada guru. Perkara yang sudah difikirkan, diucapkan dan ditulis dapat dibaca dengan bermakna.

4)      Pendekatan Membaca Individu
Pendekatan ini menekankan kepada :
·         Tahap yang berbeza dalam pembacaan individu.
·         Pelajar memilih bahan bacaannya dan mengaitkan dengan keperluan, minat dan keupayaan. Guru membantu cara memilih buku dengan cara penyiringan dan muka surat contoh serta menerangkan kesukaran dalam membacanya.


5)      Pendekatan Pembacaan Lisan
Pendekatan ini sesuai kerana buku yang mengandungi bahasa yang mempunai ciri pengulangan adalah sesuai bagi bacaan lisan. Guru membacakan cerita kepada kelas dan pelajar mengikuti bacaan guru secara kuat. Mereka berbincang berkenaan cerita dan membacanya sekali lagi. Dalam pendekatan ini, guru memilih perkataan dan frasa secara individu serta menekankan pembacaan lisan.
            Bacaan secara koral (berkorus) juga digunakan secara berkesan dalam kumpulan pelajar pelbagai etnik. Penggunaan pembacaan koral juga meningkatkan pemerolehan bahasa kedua pelajar dengan :
a)      Mencipta persekitaran kebimbangan yang rendah.
b)      Meliputi latihan pengulangan.
c)      Berdasarkan kepada input yang dapat difahami.
d)     Drama yang digabungkan.


6)      Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
Terdapat beberapa pendekatan mengajar peringkat asas iaitu :
a)      Pendekatan Binaan (Sintetik)
Kaedah abjad :
·         Murid perlu dilatih menyebut dan menghafal huruf daripada ‘a’ hingga ‘z’. kemudian murid mengeja suku kata dan perkataan, huruf-huruf yang terkandung dalam suku kata dan perkataan.
Kaedah suku kata :
·         Lanjutan daripada kaedah abjad. Penekanan diberikan pada dua jenis huruf iaitu vocal dan konsonan. Huruf konsonan dicantumkan dengan huruf vokal bagi menjadi suku kata. Suku kata pula digabung menjadi perkataan. Kenalkan suku kata terbuka dahulu sebelum suku kata tertutup.
Kaedah fonik :
·         Bunyi-bunyi yang berkait dengan huruf diperkenalkan terlebih dahulu dan bukannya nama huruf. Kemudiannya bunyi-bunyi itu digabungkan menjadi perkataan. Kaedah ini sukar dilaksanakan terutamanya dalam membunyikan huruf konsonan.



b)     Pendekatan cerakinan (analitik)
Kaedah perkataan :
·         Perkataan diperkenalkan dengan menggunakan kad perkataan. Sambil menunjukkan kad imbasan, minta murid menyebut perkataan itu beberapa kali. Kaedah ini menekankan makna dalam bacaan.
Kaedah ayat dalam cerita :
·         Menekankan ayat sebagai unit yang bermakna dalam bacaan. Lebih menumpukan bahan bacaan berbentuk cerita.


7)      Pendekatan PEBAS (Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum)

a)      Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
Asas pendekatan
Berasaskan faktor berikut :
·         Sistem ejaan bahsa Melayu bersifat fonemik.
·         Kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas.
·         Perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami makna oleh murid.
Langkah-langkah Pengajaran
        i.            Guru memperkenalkan huruf vokal ‘a’, ‘I’ ataupun ‘u’ dan latihan menyembunyikan. Tuliskan huruf di papan hitam.
      ii.            Perkenalkan huruf konsonan dan bunyikan dengan jelas.
    iii.            Gabungkan huruf konsonan dan vokal.
    iv.            Cantumkan suku kata supaya menjadi perkataan bermakna.
      v.            Bina frasa dan ayat.
    vi.            Apabila pelajar sudah menguasai kemahiran itu tidak perlu menyembunyikan setiap huruf.
  vii.            Perkenalkan dahulu suku kata terbuka dan kemudiannya suku kata tertutup.

b)     Pendekatan Abjad – suku kata
        i.            Murid mengenali huruf dan hubungannya dengan bunyi.
      ii.            Huruf konsonan digabungkan dengan hruruf vokal supaya menjadi suku kata.
    iii.            Unit-unit kecil digabungkan dengan vokal supaya menjadi suku kata.
    iv.            Gunakan latih tubi sehingga kemahiran diperoleh.
      v.            Pengukuhan diberi melalui penulisan.



No comments:

Post a Comment